Monday, 8 August 2016

Model 47 tahun tarik perhatian ramai


Tokyo – Seorang model berusia 47 tahun menarik perhatian ramai di sini apabila memiliki rupa paras dan bentuk badan se­perti seorang remaja.

Masako Mizutani yang dikenali sebagai ‘wanita kekal remaja’ itu mendedahkan rahsia kecantikannya di halaman Facebook bagi membantu kaum wanita yang berusia supaya kelihatan lebih muda.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu yang dilahirkan pada 15 September 1968 berkata, dia tidak pernah menjalani sebarang pembedahan untuk kelihatan cantik dan muda sebaliknya hanya men­gamalkan beberapa petua.

“Salah satu petuanya ialah mengamalkan senaman pada setiap hari selain mendapatkan tidur yang secukupnya termasuk menjauhi amalan merokok.

“Anda perlu mengambil pelbagai jenis makanan yang berkhasiat dalam satu hidangan misalnya buah-buahan, kekacang, susu dan sayur-sayuran termasuk mengamalkan diet yang seimbang dan makan sebanyak empat kali, namun dalam jumlah yang sedikit,” kata­nya.

Menurutnya, bagi mendapatkan kulit yang licin dan tidak mudah berkedut sebenarnya bergantung kepada cara diet dan faktor pemakanan.

“Apa yang paling pen­ting untuk mengekalkan kulit kelihatan muda dan sihat adalah jauhi diri anda daripada kawasan kotor, berhabuk dan pencemaran,” ujarnya.