Wednesday 24 August 2016

Muay Thai Bantu Saya Kurus – Nabila Huda


SENI mempertahankan diri Muay Thai menjadi hobi baharu bagi pelakon wanita serba boleh Nabila Huda dalam usaha untuk menguruskan badannya.

Nabila Huda, 33; berkata kepada sebuah laman berita tempatan, dia tidak menitikkan soal berat badan kerana suaminya tidak pernah merungut berkaitan hal itu.

“Sebelum ini ramai menegur tubuh saya semakin berisi namun saya tidak menghiraukan perkara itu kerana suami tidak pula mengomel. Secara jujurnya saya memang tidak pernah menitik beratkan tentang pemakanan seharian, apatah lagi bersenam,” katanya.

Muay Thai Bantu Saya Kurus - Nabila Huda

Ibu kepada seorang cahaya mata itu mula berminat di dalam seni Muay Thai secara kebetulan sahaja memandangkan dia melakukan aktiviti itu secara suka-suka sahaja namun sebaliknya pula yang terjadi.


Bagi Nabila, seni Muay Thai bagus untuk kecerdasan tubuh dan kesihatan namun boleh dijadikan kaedah untuk mempertahankan diri.

“Daripada suka-suka kini Muay Thai sudah menjadi hobi. Ia aktiviti mengeluarkan peluh yang bagus kerana menggerakkan otot setiap bahagian tubuh,” jelasnya.

Heroin filem Munafik ini sangat bertuah kerana suaminya, Mohd. Izwan Johar tidak menghalang malah memberikan sokongan padu kepadanya bagi meneruskan aktiviti seni bela diri ini. Tambahan pula, jurulatihnya adalah rakan baik suaminya sendiri.

Muay Thai Bantu Saya Kurus - Nabila Huda

“Kebetulan jurulatih itu juga kawan suami saya. Sekarang dengan jadual kerja yang tidak begitu sibuk saya dapat menjalani rutin di gelanggang Muay Thai itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila baharu sahaja memulakan penggambaran filem berjudul Tombirua di samping Zul Ariffin, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan Farid Kamil. Filem tersebut merupakan arahan Nasir Jani dan Seth Larney. – MYNEWSHUB.CC