Friday, 16 September 2016

Priyanka Chopra terima bayaran antara tertinggi di dunia


New York – Priyanka Chopra menjadi bintang Bollywood pertama memasuki senarai aktres televisyen yang menerima bayaran paling tinggi di dunia oleh majalah Forbes selepas membintangi siri drama Amerika Syarikat (AS), Quantico.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) melaporkan, Priyanka menduduki tangga ke lapan, manakala aktres AS, Sofia Vergara terus mengungguli senarai itu untuk tahun kelima berturut-turut.

Pelakon berusia 44 tahun dan berdarah AS-Colombia itu menerima bayaran sebanyak AS$43 juta (RM178 juta) sebelum cukai dan caj pengurusan tetapi bukan semua pendapatan Vergara datang daripada rancangan televisyen popular lakonannya, Modern Family.

Sementara itu, Priyanka pula memperoleh pendapatan sebanyak AS$11 juta (RM45.53 juta).

Dia membuat kemunculan antarabangsa kali pertama dengan membintangi drama terbitan ABC, Quantico tahun lalu dan kini dalam persiapan untuk musim kedua siri itu.

Priyanka, 34, bakal membuat penampilan pertama di Hollywood menerusi filem Baywatch.

Dia akan berganding dengan Dwayne Johnson yang merupakan aktor termahal dunia.

Pelakon siri The Big Bang Theory, Kaley Cuoco menduduki tempat kedua dengan pendapatan AS$24.5 juta (RM101 juta). Aktres AS, Mindy Kaling mengekori di tempat ketiga dengan bayaran AS$15 juta (RM62 juta) diikuti Ellen Pompeo dan Mariska Hargitay yang berkongsi kedudukan keempat dengan pendapatan AS$14.5 juta (RM60 juta). – Bernama