Tuesday 23 August 2016

Ibu Mengaku Salah, Tidak Sengaja Bunuh Anak


SUNGAI PETANI – Seorang ibu yang dituduh mendera anak perempuanya, Ainul Solehah Mohd Husmauddin, 2 tahun hingga menyebabkan kematian, mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Sungai Petani hari ini.

Harian Metro melaporkan, tertuduh, Aida Amira Harun, 22, membuat pengakuan di hadapan Hakim M. Vijayalakshmi atas tuduhan membunuh secara tidak sengaja di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani antara jam 9.10 malam hingga 9.40 malam pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Syamsul Sinring, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 September depan untuk lantikan peguam dan menjatuhkan hukuman.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh ibunya (tertuduh) selepas mengalami kecederaan dalaman dan kesan lebam baru serta lama.


Hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat doktor ke atas mangsa, menemui kesan lebam lama dan baru pada bahagian perut serta alat sulitnya.

Sebelum ini, siasatan polis mendapati mangsa pernah menjadi mangsa dera pengasuhnya Januari lalu di mana suspek sudah dituduh di mahkamah Februari lalu. – MYNEWSHUB.CC