Thursday 25 August 2016

Tiga Beranak Mati Dikelar Ahli Keluarga Sendiri


MELAKA – Tiga beranak maut, manakala tiga lagi cedera akibat dikelar oleh seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga mereka di Kampung Bertam-Malim, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi, suspek dikatakan mengamuk sebelum bertindak kejam sedemikian.

Berita ini turut disahkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din

Ketiga-tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 70, 62, dan 22 tahun disahkan meninggal dunia dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, dua lagi mangsa wanita masing-masing berusia 24 dan 27 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian bahu manakala seorang lagi wanita berusia 80 tahun mengalami kecederaan ringan.

Menurut Ramli, kesemua mangsa yang masih hidup kini dirawat di Hospital Melaka.


“Kita sedang siasat motif pembunuhan namun suspek dipercayai ahli keluarga yang tinggal bersama dalam rumah ini.

“Kita sudah mengenal pasti suspek, lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai penagih dadah tegar dan kita yakin suspek dapat ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Harian Metro.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati. – Sumber MYNEWSHUB.CC