GEORGE TOWN – Tidak sampai 24 jam kisah patung beruang biadap ‘hina’ Rasulullah SAW dicetuskan netizen pro-Barisan Nasional (BN) khasnya di Pulau Pinang sehingga menjadi viral, ia tiba-tiba ghaib pada lewat Rabu.
Paling misteri, kehilangan patung haiwan liar kontroversi yang berwarna emas itu hanya disedari ketika sekumpulan pemberita menyerbu ke lokasi pameran patung tersebut di Padang Kota Lama di sini bersama-sama Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim.
Beliau yang bergegas ke dataran bersejarah itu dengan timbalannya, Jasmin Nordin berasa hairan dan terkejut apabila mendapati, patung tersebut berjaya dialihkan sebelum kedatangan mereka untuk menyaksikan sendiri ‘keindahan’ ukiran binaan haiwan berkenaan.
Walaupun patung beruang berkenaan sudah dipindahkan, namun gambar tulisan memaparkan hadis masyhur Nabi Muhammad SAW yang diukir pada bahagian punggung haiwan itu sudah tersebar luas selepas dikongsi ribuan pengguna media sosial menerusi akaun Facebook.
Hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim itu bermaksud: “Tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehinggalah dia sanggup mengasihani saudaranya sebagaimana dia juga mengasihani dirinya sendiri.”
Susulan itu, Rafizal menggesa polis bertindak tegas ke atas pihak penganjur dan menyiasat dalang yang terlibat kerana dipercayai berjaya menjejaskan sensitiviti umat Islam Melayu di Pulau Pinang apabila biadap mengukir ungkapan Rasulullah SAW di punggung beruang.
“Saya dan Jasmin segera bergegas ke lokasi selepas menerima aduan daripada orang awam berkenaan tulisan Jawi pada punggung patung beruang,” katanya kepada pemberita sambil merujuk tulisan bahasa Arab tersebut yang menjadi viral menerusi laman sosial tempatan.
“Malangnya setibanya kami di lokasi terbabit, patung berkenaan sudahpun dialihkan, seolah-olah pihak penganjur tahu ketibaan kami pula,” kata Rafizal yang cukup kesal apabila usaha beliau mahu bergambar dengan patung haiwan tersebut sebagai kenang-kenangan gagal.
Beruang berkenaan sebenarnya adalah sebahagian daripada lebih 140 arca patung haiwan itu anjuran United Buddy Bears yang mewakili semua negara dan bandar raya di seluruh dunia menonjolkan pelancongan global untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian.
Semua patung dipamerkan setinggi 2 meter dengan simbol dan ayat-ayat inspirasi mewakili negara masing-masing. Dalam pada itu, Rafizal kesal dengan apa yang berlaku dan mahu penganjur acara itu dibawa ke muka pengadilan kerana kurang ajar menghina Melayu dan Islam.
“Perbuatan ini, lebih-lebih lagi pada Hari Kebangsaan 2016 kerana lokasi ini pula dipenuhi pelancong; ia langsung tidak boleh diterima.
“Kami juga tertanya-tanya jika tindakan berani mereka ini adalah sebahagian daripada fahaman pluralis Pulau Pinang?” tanyanya.
Rafizal berharap supaya perkara tersebut tidak lagi berulang dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak penganjur kerana sengaja menimbulkan rasa kurang senang orang ramai khasnya sensitiviti masyarakat majmuk di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan pihak penganjur merujuk kepada pihaknya atau majlis agama Islam negeri terlebih dahulu sekiranya terdapat perkara berkaitan Islam dalam sebarang program yang dianjurkan.
Menurut beliau, meskipun pameran itu bertujuan positif iaitu menggalakkan kedamaian antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya, kewujudan tulisan jawi di tempat tidak sesuai boleh menimbulkan salah faham terutama masyarakat Islam.
“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana ambil langkah segera buang patung itu bagi elak reaksi tidak sihat daripada kalangan yang mungkin tersalah tafsir sebagai hina Islam atau dieksploitasi pihak tertentu,” kata beliau lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA