Sunday 21 August 2016

‘Saya Minta Maaf Kerana Gagal…’ – Chong Wei


IMPIAN Datuk Lee Chong Wei untuk mengakhiri permainannya di Sukan Olimpik dengan pingat emas berakhir apabila tewas dengan pemain badminton China, Chen Long di Rio, semalam.

Keadaan itu sudah pasti mendatangkan kesedihan dalam jiwa beliau.

Namun apa yang membuat rakyat sebak adalah sikap merendah diri Chong Wei yang mana selepas permainan berakhir, beliau masih memikirkan perasaan rakyat Malaysia dan bertindak memohon maaf kerana gagal membawa pulang emas pertama negara.

“Saya minta maaf kerana gagal menyumbang pingat emas yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Memang saya kecewa dengan kekalahan ini. Saya sudah memberikan yang terbaik, tetapi Chen Long bermain dengan lebih baik.

“Saya lakukan yang terbaik dan ternyata bukan ini yang mahukan untuk mengakhiri penampilan di Olimpik,” kata Chong Wei sambil menahan air mata ketika itu.


Pada peringkat separuh akhir, Chong Wei berjaya mengalahkan Lin Dan, juga merupakan pemain dari China.

Ramai yang menjangkakan Lin Dan adalah halangan terbesar beliau untuk mendapatkan emas.

Detik yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia untuk ikon sukan negara pulang dengan emas mula tergugat apabila Chong Wei tewas di set pertama dengan 18-21 dalam masa 38 minit.

Dalam pertarungan yang sengit itu, set kedua turut tamat dengan keputusan sama ketika Chong Wei gagal merobek keutuhan Tembok Besar China untuk kali ketiga di pentas akhir.

Chong Wei telah mengakhiri karier Olimpiknya dengan tiga pingat perak berturut-turut, manakala ia merupakan emas pertama untuk Chen Long selepas Lin Dan menang pada tahun 2008 di Beijing dan 2012 di London. – MYNEWSHUB.CC